Pendidikan alam sekitar dapat didefinisikan sebagai satu
bentuk pendidikan bagi menyelamatkan alam sekitar daripada terus dirosakkan.
Hal ini penting bagi membendung kerosakan yang dilakukan oleh manusia terhadap
alam sekitar. Antara kerosakan itu adalah mencemarkan air dan udara,
menggunakan bahan yang sukar dilupuskan, menebang hutan tanpa kawalan, menarah
tanah tinggi, serta menggunakan air dan tenaga elektrik yang berlebihan.
Ancaman ini telah membuatkan pendidikan alam sekitar dilihat sebagai satu
senjata ampuh yang mampu mengubah tingkah manusia kepada menyayangi alam
sekitar daripada terus digunakan secara sewenang-wenangnya. Terdapat pelbagai
langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di
sekolah.
Antaranya adalah dengan mengadakan kempen ‘Sayangi
Alam Sekitar’. Bagi menguruskan kempen ini, maka Persatuan Alam Sekitar boleh
bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melicinkan perjalanan program yang
dirancang. Antara program yang boleh dijalankan sepanjang kempen ini diadakan
ialah pertandingan melukis poster, pertandingan mencipta dan mendeklamasikan
puisi, pertandingan menulis esei, pertandingan pidato, syarahan dan debat,
ceramah tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan pelbagai lagi aktiviti
yang boleh menarik minat pelajar. Kesemua aktiviti ini menjurus kepada satu
matlamat, iaitu memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Tegasnya, kempen sebegini harus dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan
agar kesedaran yang ingin ditanam ranum di sukma mereka sebagai pemegang amanah
kepada kelangsungan hijaunya alam sekitar.
Selain itu, Kementerian Pelajaran perlu mengkaji
keperluan mewujudkan mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar sebagai subjek
elektif di sekolah. Hal ini disebabkan oleh sikap remaja masa kini yang
memandang enteng akan kepentingan menjaga alam sekitar. Mereka juga kabur akan
rasionalnya, di samping diburukkan lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab
terhadap alam sekitar. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris,
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Sains, dan Geografi yang telah memasukkan
topik berkenaan alam sekitar, maka pengekalan perlu dilakukan. Seandainya
cadangan mewujudkannya sebagai mata pelajaran elektif tidak dilaksanakan, maka
sekurang-kurangnya kita sudah ada persediaan ke arah mengangani masalah
pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing. Ringkasnya, silibus tentang
pendidikan alam sekitar perlu diwujudkan, tidak kiralah sebagai subjek tunggal
mahupun sisipan memandangkan kepentingannya dalam jangka panjang.
Di samping itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan
gotong-royong memghijaukan kawasan sekolah. Program penghijauan ini boleh
dilakukan dengan menanam pokok-pokok di sekitar kawasan sekolah. Antara
pokok-pokok yang boleh ditanam ialah pokok buah-buahan dan pokok perhiasan,
seperti pokok bunga. Selain memcantikkan sekolah dan memberi hasil untuk
dimakan, penanaman pokok ini sebenarnya telah membantu penambahan pengeluaran
gas oksigen yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Program ini sebegini juga
mampu mendidik remaja agar mengawal aktiviti penggondolan hutan secara
berleluasa seperti yang didepani oleh dunia dewasa ini. Ringkasnya, aktiviti
seperti ini sememangnya penting dalam mendidik tabiat sayang akan alam sekitar
sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Bukan itu sahaja, sekolah boleh mengenakan peraturan baru
bagi penggunaan air dan elektrik di sekolah. Hal ini bertujuan bagi mengawal
penggunaan elektrik dan air daripada terus dibazirkan. Penggunaan elektrik dan
air yang tidak terkawal merupakan salah satu bentuk kerosakan terhadap alam
sekitar. Hal ini demikian kerana penggunaan elektrik yang berlebihan telah
membebaskan gas-gas beracun seperti monoksida yang mampu mengancam ekosistem
dan kesihatan manusia juga. Sekolah boleh menggariskan beberapa peraturan
seperti menutup lampu setiap jam8.30 pagi misalnya, kecuali pada hari hujan dan
mendung. Kipas pula perlu dihentikan sekiranya pelajar tidak berada di dalam
kelas, umpamanya pergi ke makmal dan ketika waktu rehat. Bagi memastikan
pelaksanaan peraturan ini berjaya, maka pengawas perlu prihatin dan
bertanggungjawab memantau dan memastikan lampu dan kipas telah dimatikan
sebelum meninggalkan kelas. Jelasnya, tindakan sebegini bukan sahaja mampu
menjimatkan penggunaan air dan elektrik tetapi dapat memupuk sikap berjimat
cermat dalam kehidupan seharian kerana agama Islam menyifatkan pembaziran itu
merupakan amalan syaitan.
Malahan, Kementerian Sumber Asli boleh bekerjasama dengan
Kementerian Pelajaran bagi menjalankan program kitar semula di sekolah.
Walaupun program ini pernah diperkenalkan suatu tika dahulu, tetapi kali ini
kerajaan perlu lebih proaktif. Sebagai contoh, kerajaan perlu menjelaskan
konsep kitar semula dengan jelas, sama ada melalui media elektronik, media
cetak, mahupun buku teks. Bahkan, kerajaan perlu melabelkan tong-tong kitar
semula dengan perkataan, bukan lagi sekadar lambang dan simbol. Ternyata simbol
yang terdapat pada setiap tong tidak banyak membantu kerana masih terdapat
remaja, malah masyarakat yang keliru dan tersalah meletakkan bahan buangan ke
dalam tong lain. Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula di sekolah
ialah, surat khabar, kertas, tin aluminium, botol minuman plastik, dan kaca.
Hal ini secara tidak langsung menjimatkan sumber dan mengelakkan penerokaan
serta penebangan hutan secara berleluasa.
Seperti yang kita sedia maklum, remaja cukup sinonim
dengan hiburan. Malahan, ada di antara mereka yang menjadikan artis popular
sebagai idola. Sudah terang lagi bersuluh, atas dasar itulah kementerian perlu
memanfaatkan situasi ini dengan sebaik mungkin. Sudah tiba masanya lagu kitar
semula digubah dan dinyanyikan oleh artis popular tanah air. Lantaran itu,
ceramah yang diadakan di sekolah boleh disampaikan oleh duta alam sekitar yang
dilantik daripada kalangan artis. Meskipun begitu, artis yang dilantik perlu
mempunyai ilmu dan minat yang mendalam terhadap pelestarian alam sekitar. Kita
tidak mahu remaja hanya berhibur, sedangnya nilai kecintaan terhadap alam
sekitar dikesampingkan. Sesungguhnya, kerajaan perlu mendapat pencerahan dalam
memastikan pembenihan cinta akan alam sekitar dibugarkan dengan cara bilazim
supaya pencambahan itu dapat dilakukan dengan lebih segar.
Sebagai intiha, pelestarian alam sekitar sebenarnya
bukan bermula di bangku sekolah, sebaliknya harus disemai, dibaja dan disiram
di rumah. Lebih-lebih lagi, tidak mungkin kayu yang bengkok mampu menghasilkan
bayang-bayang yang lurus. Atas dasar itu, ibu bapa perlu mencitrakan perlakuan
yang boleh dijejaklangkahkan oleh anak-anak. Kerajaan dan guru hanya
melengkapkan pengisian yang telah dicurahkan semasa anak-anak di rumah.
Ingatlah, alam ini hanya pinjaman daripada generasi mendatang. Lantaran itu,
seandainya semua pihak memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil
pencemaran alam sekitar hanya menjadi kenangan.